Khamis, 6 Jun 2013

UMNO HERO MELAYU. HIDUP UMNO!!

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau United Malay National Organisation (UMNO) adalah parti politik terbesar di Malaysia dan merupakan pengasas serta tulang belakang pakatan Barisan National yang telah memerintah Malaysia semenjak merdeka. Umno adalah parti penjaga nasionalisme Melayu atau ketuanan Melayu. Perjuangan asas parti ini seperti mana yang telah termeterai dalam pelembagaan iaitu mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi bangsa, agama dan negara. Umno juga beriltizam untuk memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan Bumiputra. 
              Orang tua-tua kata Umno yang merdekakan Tanah Melayu daripada penjajahan British. Mereka juga kata Datuk Onn lah yang telah menyatukan orang Melayu untuk tuntut kemerdekaan, pertahankan hak Melayu dan pelihara kedudukan raja-raja Melayu. Memang betul apa mereka kata kita tidak boleh nafikan jasa Umno atau Umo yang menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa Malayan Union (seperti mana dalam buku sejarah waktu sekolah menengah). Namun setelah lebih separuh abad parti lapuk ini memerintah Malaysia adakah Umno masih layak dianggap hero orang Melayu. Jika selama ini kita lihat Umno sering bermain dengan sentiment perkauman, untuk survival parti mereka. Kononya menurut mereka jika PR menang hak-hak istimewa Melayu akan terjejas, perkara 153 akan dicabar, bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa rasmi, Malaysia akan jadi negara Republik-tiada lagi raja-raja Melayu dan tiada agama rasmi.

               Namun kebelakangan ini ada suara-suara dalam Umno sendiri yang mahu parti itu dihapuskan sebaliknya BN menjadi parti tunggal. Hal ini berlaku kerana parti komponen dalam BN yang bersifat perkauman semakin kurang mendapat sambutan. Hal ini kita dapat lihat dalam PRU-13, MCA (parti perkauman Cina) dan MIC (parti perkauman India) kalah teruk. Persoalannya dimanakah slogan “Hidup Melayu”? Di manakah tangisan Mahathir kerana mengenangkan nasib anak Melayu. Jelaslah di sini Umno sekarang bukan lagi seperti Umno dalam buku sejarah di bangku sekolah. Umno sekarang bukan lagi Umno dalam memori atuk nenek kita. Umno bukanlah seperti mana yang diagong-agongkan oleh para macai yang cukup pandai “bershukur”, guna photoshop, dan edit video lucah. Umno sudah tidak relevan dalam memperjuangkan hak orang Melayu.

            Bukan itu sahaja. Jika kita cakna Tanah Rizab Melayu (TRM), diwartakan pada 1957 yang berjumlah 3 juta hektar telah dipinda dengan Akta Pengambilan Tanah pada 1991. Menurut bancian pada tahun 1995 TRM hanya tinggal 1.7 juta hektar. Itu 18 tahun yang lepas, berapa pula keluasan TRM pada 2013? Lebih sedih lagi pakar drama nangis, Dr. Mahathir telah menghina hak orang Melayu terhadap tanah tersebut. Menurut beliau TRM sama dengan tanah rezab orang asal Red Indian di US. Adakah sama taraf orang Melayu dengan Red Indian?

            Itu baru fasal tanah, belum sebut pasal ekonomi Melayu. Pada 1974 Tun Razak menubuhkan Kementerian Penyelarasan Perbadanan Awam (KPPA) untuk menyelaras UDA, MARA dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) bagi memantapkan ekonomi orang Melayu. KKPA digantikan dengan Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU) untuk memberi tumpuan dan penekanan khusus terhadap pembangunan usahawan Bumiputera. Pada 2004 pula KPU dinaik taraf kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia. Malangnya, pada 2009 Najib memansuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia dan MARA serta Tekun dipindahkan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Natijahnya agensi yang membantu orang Melayu seperti MARA dan TEKUN tidak dapat memainkan peranan secara optimum.

            Pernah dengar Bank Bumiputra? Untuk pengetahuan anda Bank Bumiputra (1965) ditubuhkan bertujuan memberikan pinjaman kepada usahawan Melayu untuk berniaga. Langit tidak selalunya indah, pada 1997  Bank Bumiputra hampir tumbang kerana memberikan pinjaman kepada kroni Umno untuk mengambil alih MAS. Untuk menyelamatkan Bank Bumiputra, bank tersebut telah digabungkan dengan Bank of Commerce menjadi Bumiputra Commerce. Kemudian Nazir Razak (abang Najib) membeli BC dan menjadi CIMB. Hasilnya usahawan Melayu tidak lagi dibantu. Dalam bab saham pula, Dasar Ekonomi Baru (1971) peratus ekuiti Melayu dalam bursa saham ditingkatkan kepada 30% dan saham ini berjumlah kira-kira RM15 bilion. Sungguh malang nasib Melayu saham-saham tersebut telah dibedak-bedakkan oleh ahli Umno dan yang tinggal sekarang hanya RM 2 bilion.

            Bercakap tentang pendidikan, memang anak melayu dibantu untuk melanjutkan pelajaran. Sekarang ini kita tengok ramai professional Melayu. Tapi itu semua berlaku ketika zaman ayah kita, bukan di zaman kita. Dasar pendidikan percuma di IPTA dimansuhkan dan PTPTN diperkenalkan, jelas merugikan anak Melayu. Biasiswa MARA, JPA dan GLC terlampau sikit, dan anak Melayu sudah tidak diberi kelebihan dalam mendapat biasiswa kerajaan, pada 2008 90% penerima biasiswa adalah anak Melayu tapi pada 2011 penerima biasiswa Melayu hanya 55%. Macai kata kita perlu bersyukur sekurang-kurangnya kita dapat belajar, Umno gak yang bagi kita kerja, Umno gak yang bagi kita makan. Saya kata, pergi mamposlah dengan kau punya syukur, Umno makan duit Melayu!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan